RSS

Blog

MENILAI PERSEDIAAN LIVERPOOL MENJELANG MUSIM BAHARU 2017/18

Stadium Anfield telah bersedia dengan rumput baru menjelang musim baru 2017/18

 

Setelah terpisah selama beberapa bulan dengan aksi bolasepak kompetitif, akhirnya tarikh yang dinantikan oleh peminat bolasepak versi EPL semakin tiba. Tirai musim 2017/2018 akan dibuka pada 12hb Ogos 2017 dan dengan sendirinya perlumbaan marathon ke garisan penamat yang diletakkan pada bulan May 2018 akan bermula.  Maka penuhlah kedai makan yang mempunyai skrin besar dengan pengunjung yang selalunya memilih untuk menonton perlawanan pasukan kesayangan masing-masing bersama kawan-kawan. Tempoh perlumbaan 9 bulan ini juga akan diwarnai dengan pelbagai keputusan samada yang dijangka mahupun diluar jangkaan dan diikuti dengan post atau status susulan keesokan harinya di media sosial dari penyokong pasukan yang menang mempersendakan pasukan yang kalah. Suasana yang menambah keseronokan dan adakalanya menimbulkan ketegangan.

Kita tinggalkan rencah serta rempah ratus EPL ini dan kita fokuskan pada tujuan utama saya tuliskan artikel ini iaitu menilai persediaan pasukan Liverpool FC (LFC) untuk menghadapi musim 2017/18 ini dengan lebih jujur, terbuka, adil dan tidak prejudis.

Liverpool melalui pra musim yang sangat baik, termasuk kemenangan 3-0 menentang Bayern Munich

 

Jika melihat perjalanan persediaan LFC untuk musim 2017/2018 ini, ianya seperti skrip yang ditulis dengan teliti dan jalan cerita yang disusun rapi untuk menaikkan mood penyokong. Tarikh bermula EPL musim ini adalah pada 12/08/2017 dan tarikh yang sama juga siri perlawanan persahabatan LFC bermula pada bulan Julai (12/07/2017). Genap sebulan perjalanan persediaan LFC untuk menghadapi musim baru dan dlm tempoh ini LFC telah mengharungi 8 perlawanan kesemuanya. Jika keputusan perlawanan dinilai dari 90 minit; bermakna LFC tidak merekodkan sebarang kekalahan (6 menang & 2 seri). Tetapi perlawanan akhir Piala Audi memerlukan pemenang yang melihatkan keputusan terpaksa diambil dari penentuan penalty yang melihat LFC kecundang dengan 4-5. Apapun, Jurgen Klopp (JK) berhak untuk dihadiahkan ucapan Tahniah kerana menghidangkan sesuatu yang positif dan menampakkan LFC mampu menyerap tekanan sekiranya mereka dipaksa untuk mengharungi jadual yang padat pada musim baru ini seperti yang LFC lalui pada musim 2016/2017 dimana dalam Jan 2016 menjalani 9 perlawanan dan Feb pula 8 perlawanan.

 

Philippe Coutinho dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. Namun pihak Liverpool menegaskan beliau bukan untuk dijual


Dengan musim yang akan bermula dalam beberapa hari lagi, kita digegarkan dengan berita Neymar memilih untuk ke PSG dengan harga yang diluar dari kotak kewarasan manusia. Kita tidak hairan dengan harga atau keputusan Neymar tetapi kita perlu terima kenyataan bahawa LFC bakal menerima kesan dari keputusan pemain Brazil ini. Sejak Neymar mula dirisik oleh PSG lagi, Barcelona tidak berahsia atau berkias dalam menunjukkan minat mereka pada Coutinho untuk mengisi tempat Neymar. Barca mengumpan LFC dengan pelbagai harga tetapi sehingga saat artikel ini ditulis, penyokong LFC masih boleh tersenyum kerana JK masih tidak berganjak dari keputusan beliau untuk tidak melepaskan Coutinho. Tetapi dunia bolasepak sukar untuk dijangka. Tengkok Suarez juga digantung papantanda “BUKAN UNTUK DIJUAL” tetapi kita tahu apa penghujungnya. Kita sukar untuk meramal tahap mana pemilik LFC mampu menahan godaan untuk tidak menggigit umpan Barca. Seperti anda, saya juga mengharapkan supaya Coutinho kekal di Anfield kerana kita yakin LFC mampu memberi saingan yang lebih sengit dengan adanya pemain seperti Coutinho. Kita tidak merendahkan keupayaan pemain lain tetapi jika pasukan seperti Barca sanggup mengumpan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan beliau, bermakna Coutinho berada di tahap yang lebih tinggi dari pemain lain. Ini hakikat yng perlu diakui oleh pemain lain. Mengambilkira dari apa yang dinyatakan, saya hanya berharap Coutinho dan LFC segera membuat keputusan. Jika Coutinho berkeras untuk meninggalkan LFC, tidak ada gunanya LFC terus menyimpan beliau tetapi biarlah urusan ini dimuktamadkan dengan segera supaya tempat Coutinho yang kosong boleh diisi dengan pemain yang sesuai sebelum tiba tarikh tutup. Kita tidak mahu pembelian panik berlaku di hujung2 tarikh tutup pembelian pemain. Namun setakat ini.. diulang setakat ini, saya kagum dengan Coutinho kerana bijak mengawal keadaan. Kita tahu betapa setiap pemain ingin bermain untuk pasukan seperti Barcelona dan Real Madrid. Sama seperti Coutinho tetapi dia masih bertindak bijak dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang mampu menjejaskan hubungannya dengan penyokong LFC. Coutinho sedar jika dia tidak ke Barca, dia akan menghadapi penyokong LFC secara kerap. Lebih elok dia mengambil langkah selamat dengan menjaga hati penyokong LFC.

 

 

Liverpool akan menentang TSG 1899 Hoffenheim di bawah kendalian Julian Nagelsmann dalam saingan playoff Liga Juara-Juara Eropah


Berbalik pada saingan musim 2017/2018. Selain EPL, musim ini juga menyaksikan LFC kembali ke pentas Eropah. Persoalannya yang mana satu; Champions League (UCL) atau Europa League (UEL). Teka-teki pasukan lawan di “play-off” telah terjawap. LFC akan menentang Hoffenheim pada 16/08/2017 di tempat lawan dan akan memuktamadkan samada UCL atau UEL yang bakal ditempuhi untuk musim ini di Anfield pada 24/08/2017. Hoffenheim bukan satu lawan yang boleh dipandang remeh. Pembetulan. Apabila sudah sampai ke tahap “play-off” UCL; sudah tiada istilah lawan mudah. Mereka tidak akan berada di peringkat “play-off” jika mereka sekadar lawan mudah. Hoffenheim mempunyai rekod yang cemerlang di laman sendiri apabila mencatatkan rekod tanpa kalah di Rhein-Neckar Arena sepanjang musim Bundesliga 2016/2017 berlangsung. Kali terakhir pasukan kendalian pengurus muda  Julian Nagelsmann ini merasa kepedihan kalah di laman sendiri di saingan Bundesliga adalah pada 14 May 2016. Lebih mengerikan, itulah satu-satunya kekalahan di tempat sendiri yang dialami oleh pengurus ini sejak mengambilalih pengurusan Hoffenheim pada Februari 2016. Satu statistik yang perlu dipandang serius dan memerlukan JK merangka strategi untuk setidaknya tidak tewas di stadium keramat tersebut dan mampu tumbangkan mereka di Anfield. Mungkin ayat ini agak keras tetapi saya sarankan supaya penyokong LFC menundakan dahulu perancangan untuk bangun di subuh Rabu atau Khamis kerana pasukan lawan dilihat mampu memadamkan angan-angan kita tersebut.

 

Virgil van Djik antara pemain target utama untuk ke Liverpool, namun proses untuk membawa masuk pemain ini kelihatan sukar



Secara keseluruhan dan menolak isu Coutinho, LFC dilihat seperti sudah berpuashati dengan barisan pemain yang sediada. Ketika tarikh artikel ini ditulis, hanya Dominic Solanke, Mohamad Salah dan Andrew Robertson berada di senarai pemain yang dibeli. JK seakan memilih untuk mengambil risiko yang sama seperti musim lepas. Fakta ini dikuatkan dengan ayat yang kerap diulang berkali-kali oleh JK tentang Moreno; “seperti pembelian baru”. Tidak dinafikan, mutu permainan Moreno sungguh berbeza dan meningkat dalam siri persahabatan pra musim. Dengan peningkatan Moreno dengan sendirinya menjadikan Milner boleh dikembalikan ke posisi kegemarannya iaitu di midfield. Seperti musim lepas, JK tidak kelihatan panik atau terdesak untuk menambah pemain dimana beliau melepaskan 15 pemain dan hanya menggantikan dengan 6 pemain. Adakah JK akan melakukan perkara yang sama musim ini kerana setakat ini beliau telah melepaskan 6 pemain dan hanya membeli 3. Tidak dinafikan percaturan JK dilihat menjadi kerana perjalanan musim lepas dilihat memihak pada LFC sehinggalah Sadio Mane dipanggil pulang untuk mewakili negaranya di Piala Afrika. Hasil dari kehilangan beberapa mata berharga pada tempoh ketiadaan Sadio Mane itu, JK hanya menambah sokongan di bahagian tersebut.  Maka Salah dan Solanke dibawa masuk dengan harapan kelompongan yang sama dapat diisi jika keadaan yang sama berulang. Keseronokan JK menajamkan bahagian serangan sangat jelas apabila Naby Keita turut berada dalam sasaran beliau tetapi dihampakan oleh RB Leipzig apabila mentah-mentah menolak bidaan LFC. Pengurus LFC ini juga sedar pertahanan perlukan penambahbaikan dan di sinilah kita lihat kronologi kisah Virgil van Dijk yang sehingga sekarang masih tidak ada penutup. Ditambah pula pada ketika saya menulis artikel ini, melintas berita di internet yang mengatakan VVD sudah menyerahkan surat permohonan minta dilepaskan kepada pengurusan Southampton menjadikan kisah VVD ini terus hidup dan mengundang pelbagai  kemungkinan.

 

Daniel Sturridge berada dalam keadaan terbaik beliau menurut Klopp, namun beliau perlu kekal dalam keadaan terbaik dan seterusnya tidak mengalami kecederaan ketika musim berlangsung


Kita menyentuh pula tentang kecederaan kerana kecederaan dan LFC memang tak dapat dipisahkan. Mengimbas kembali ketika musim lepas berakhir, kita dapat lihat gesaan secara terbuka dari sebahagian besar penyokong LFC supaya JK menjual Sturridge. Kita tidak boleh menyalahkan kumpulan penyokong ini kerana mereka mempuyai alasan yang kukuh. Statistik penglibatan Sturridge dalam perlawanan musim lepas tidak banyak membantu. LFC mengharungi 47 perlawanan secara keseluruhan dan Sturridge hanya terlibat 27 kali. Tapi sebelum kita menjatuhkan hukuman pada Sturridge, kita perlu lihat beberapa aspek terutama persaingan EPL. Sturridge membuat 89 penampilan di saingan EPL bersama LFC dan dari jumlah itu dia berjaya menjaringkan 46 gol. Satu jumlah yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Benarlah apa yang dikatakan oleh Lallana, jika Sturridge berada di tahap kecergasan maksimum; kehebatannya adalah seperti LFC baru membeli 2 pemain baru. Saya setuju apa yang Lallana katakan tapi masalahnya masih berpeluangkah kita melihat Sturridge berada di tahap kecergasan maksimum.  Musim lepas kita meyaksikan Danny Ings hanya membuat 2 penampilan di saingan Piala Liga sebelum dibawa semula ke bilik rawatan sehingga habis musim. Kita juga akui bahawa isu kecederaaan adalah perkara diluar jangkaan tetapi kita mengharap JK akan ambil keputusan yang lebih agresif dalam menangani masalah pemain yang dilanda kecederaan jangka panjang. Tidak dinafikan jika berlandaskan senarai pemain yang sediada untuk menghadapi musim baru ini, setiap posisi diletakkan “back-up” plan bagi menghadapi kemungkinan kecederaan. Tapi itu tidak mencukupi jika kita mahu melihat LFC kembali menjadi pesaing. Jumlah pemain yang berpotensi mengalami kecederaan berulang perlu diminimumkan. Perlu kita ingat, jika LFC berjaya kembali ke UCL; jadual akan menjadi padat. Piala Liga dan FA juga bakal menagih kecergasan pemain di tahap terbaik. LFC sudah tidak mampu menggunakan set pemain yang sama saban minggu jika sudah berada di UCL. Perlu diingatkan bahawa 2018 adalah tahun Piala Dunia. Pemain akan kerap dipanggil untuk memikul tugas mewakili negara bagi persediaan menghadapi Piala Dunia dan sekaligus menjadikan risiko untuk pulang ke Anfield dengan keadaan kaki atau tangan berbalut adalah tinggi. Untuk ini, JK terpaksa membawa watak antagonis untuk membuat keputusan berkenaan pemain yang lebih lama meluangkan masa di bilik rawatan berbanding di atas padang.

 

Peminat telah menyokong sepenuh hati. Tinggal pemain sahaja yang perlu memberikan aksi terbaik sepanjang musim


Kita rangkumkan seperti berikut. Sebagai penyokong yang mengikuti perjalanan dan persediaan LFC setiap musim, kita diasuh untuk tidak menilai persediaan atau meletak sebarang sasaran yang tepat berdasarkan pencapaian sepanjang tempoh pra musim. Kita telah banyak belajar dari pengalaman lepas bahawa tindakan ini membawa risiko yg sangat tinggi terutama risiko untuk dihampakan dan melihat impian kita pecah berderai. Musim  lepas adalah contoh yang pa,ling klasik. Kita terbuai dengan kelancaran perjalanan LFC sehingga ada yang sudah yakin musim lepas adalah musim yang ditunggu-tunggu sejak 1989. Tetapi malangnya, kita kecewa sekali lagi. Walaupun ralat dan sedih tapi setidaknya ianya satu tanda dan petunjuk yang jelas mengatakan LFC mampu beri saingan jika disusun seeloknya dan dirangka pelan “back-up” jika perlu. Jangan bimbang LFC. Saya yakin saya bercakap bagi pihak penyokong LFC yang lain. Sungguhpun kecewa setiap penghujung musim, kita tetap lagi berada di belakang pasukan dan tidak pernah berhenti berharap supaya LFC mampu lakukan sesuatu yang di luar dari kebiasaan dan mungkin akan mengakhiri perlumbaan 9 bulan ini di kedudukan yang juga di luar dari kebiasaan.

Kita jumpa di perlawanan pembukaan.

#WeAllReds

 

Artikel ini dikarang oleh Shankly List a.k.a Apai

KONSISTENSI PERLU JADI TARUHAN TERBAIK LIVERPOOL

 

Musim 2016/17 yang telah dilalui memberikan terlalu banyak rasa buat semua penyokong Liverpool. Bermula dengan baik di Emirates memberikan 1001 harapan yang skuad Liverpool 2016/17 akan menghadirkan kejayaan untuk peminat yang sememangnya sudah lama memasang impian sekurang-kurangnya satu piala dapat dibawa balik ke Liverpool.

Namun impian hanya tinggal impian. Bermula dari perlawanan menentang Sunderland pada awal Januari meninggalkan satu kenangan pahit yang sukar ditelan oleh peminat. Seakan menelan ubat tanpa menggunakan air itulah rasa yang ditinggalkan dan pastinya dikenang hingga kini.

 

Kecederaan pembunuh senyap konsistensi Liverpool

Kecederaan umpama pembunuh senyap kejayaan Liverpool musim lalu

 

Kecederaan demi kecederaan yang menimpa satu demi satu pemain menghadirkan rentetan keputusan buruk di sepanjang 11 perlawanan liga dan juga pusingan kalah mati Piala EFL  dan juga Piala FA di sepanjang Januari dan Februari. Hanya 2 kemenangan berjaya dicatatkan dalam tempoh tersebut menghadirkan kegelisahan buat penyokong.

Bermulanya Mac dengan kemenangan ke atas Arsenal di Anfield kembali menghadirkan senyuman di kalangan penyokong. Impian untuk mengakhiri musim di kalangan empat terbaik akhirnya berjaya dicapai dalam perlawanan terakhir menentang pasukan di tangga ke 19 liga, Middlesbrough, di Anfield. Perlawanan yang turut disaksikan oleh beberapa ahli ARM yang berkunjung ke Anfield.

Pengalaman musim lepas pastinya menjadi igauan buat penyokong Liverpool untuk mengharungi musim ini. Melalui perlawanan pertama menentang Watford minggu lalu yang berkesudahan seri 3-3 sudah menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong. Kritikan dilemparkan terutamanya kepada bahagian pertahanan yang tampak cukup longgar dalam perlawanan tersebut.

 

Gol pemusnah impian 3 mata pertama Liverpool

Gol Britos perampas impian 3 mata pertama Liverpool musim ini

 

Kegelisahan yang hampir sama dirasai ketika menonton perlawanan menentang Hoffenheim di Rhein-Neckar Arena. Meskipun berjaya menamatkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah Hoffenheim di kubu mereka sendiri namun sekali lagi aksi kesebelasan pemain mencetuskan kegelisahan buat penyokong dan pastinya menghadirkan satu persoalan. Mampukah skuad yang ada kini menghadirkan sekurang-kurangnya 1 piala musim ini?

Persoalan tersebut hanya mampu dijawab dengan satu jawapan. Konsistensi.

Hilangnya konsistensi ketika pertengahan musim lalu memberikan khabar duka kepada penyokong. Lalu mampukah skuad yang ada kini meningkatkan prestasi dan seterusnya mempertahankannya untuk sepanjang musim ini?

Tiada cara terbaik untuk pemain Liverpool menjawab soalan tersebut. Aksi dalam perlawanan jadi penentu.

Semestinya laungan keramat You’ll Never Walk Alone jadi azimat terbaik mengiringi perjalanan skuad serba merah dari Merseyside mengharungi musim 2017/18 yang menjanjikan laluan lebih getir buat mereka di sana. 

RUMOURS: MOHAMED SALAH, VIRGIL VAN DJIK DAN ALEX LACAZETTE

Transfer window datang lagi, kali ini bakal mengaitkan ratusan pemain bola sepak professional serata dunia dengan Liverpool. Daripada bek kiri Hull City, Andrew Robertson hingga penjaga gol veteran, Iker Casillas, semuanya tidak terlepas untuk dikaitkan dengan Liverpool. Setelah Dominic Solanke sah ke Liverpool musim hadapan, dijangka ramai lagi yang akan ke kelab Liverpool pada masa akan datang. Namun fokus kali ini ialah:

 

1. MOHAMED SALAH (AS ROMA, EGYPT)

 

Salah pernah dikaitkan dengan Liverpool ketika beliau berada di FC Basel suatu ketika dahulu. Kerana lambat membuat negotiation, maka Chelsea merampas pada minit akhir, seterusnya menghampakan hampir semua penyokong Liverpool ketika itu.

Tahun 2017, cerita sudah berubah. Salah kini pemain AS Roma. 2016/17 merupakan musim terbaik dalam karier beliau. Beliau membuat 41 penampilan dan berjaya menjaringkan 19 gol, dan mula menarik minat Klopp untuk membawa beliau ke Anfield musim depan.

Salah terkenal dengan larian laju serta decision making yang baik. Cuma kelemahan Salah ialah mungkin beliau tidak cukup tinggi untuk memenangi aerial duel dengan pemain lain.

UPDATE TERKINI:

  • Liverpool sudah bersetuju untuk memberikan gaji 90k pound seminggu kepada Salah, 2 kali ganda gaji beliau di AS Roma.
  • Bidaan pertama Liverpool berjumlah 28 juta pound ditolak. Bidaan kedua dijangka berjumlah 35 juta pound tambah 'add ons'
  • Roma mahu menjual Salah sebelum 1 Julai untuk menaikkan gaji Radja Nainggolan dan seterusnya terlepas daripada hukuman Financial Fair Play

2. VIRGIL VAN DJIK (SOUTHAMPTON, NETHERLANDS)

 

Van Djik merupakan pertahanan kental yang berasal daripada Belanda dan kini bermain dengan Southampton. Persahabatan yang terbina antara Southampton dan Liverpool sejak 2014 akan diteruskan dengan pembelian Van Djik.

Van Djik merupakan pertahanan tengah Southampton dan telah beraksi bersama kelab itu sejak tahun 2015. Membuat 55 penampilan dan berjaya menjaringkan 4 gol dalam EPL, 7 gol dalam semua pertandingan. Beliau juga mengumpul 12 caps bersama Belanda.

UPDATE TERKINI:

  • Virgil van Djik memberitahu Klopp bahawa beliau mahu bermain dengan Liverpool, serta membakul sampahkan tawaran Manchester City dan Chelsea.
  • Liverpool masih belum membuat tawaran, namun mereka mampu membayar 60 juta pound untuk pemain itu

 

3. ALEXANDRE LACAZETTE (OLYMPIQUE LYONNAIS, FRANCE)

 

 

Lacazette merupakan pemain bahagian penyerang, juga mesin gol bagi kelab Lyon. Beliau berkelana di kelab itu selama 7 tahun, menjaringkan 100 gol dalam liga, dalam 203 penampilan beliau. Selain itu, beliau juga beraksi 11 kali bersama France dan menjaringkan 1 gol.

Lacazette tidak ada masalah kurang pengalaman beraksi di peringkat Eropah, kerana musim 2016/17 beliau menjaringkan 7 gol dalam Europa League.

UPDATE TERKINI:

  • Klopp dijangka akan bertemu dengan pihak Lacazette minggu depan untuk membincangkan berkenaan perpindahan pemain itu.
  • Klopp pernah berkata bahawa beliau akan membawa masuk seorang penyerang bertaraf dunia musim hadapan. Mungkin Lacazette penyerang yang dimaksudkan itu

 

KESIMPULAN

Siapa pun pemain yang datang ke Liverpool, mereka tidak boleh bermain-main. Mereka perlu berjuang untuk mendapatkan kesebelasan utama pada setiap minggu. Tambahan pula, dengan kehadiran pemain-pemain baru, diharap dapat memberi tunjuk ajar kepada pemain sedia ada dan pemain muda.

 

#YNWA

#WEALLREDS

LFC TOUR 2017/18: THE REDS KE MANA?

Saingan Liga Perdana Inggeris baru sahaja berakhir. Ramai peminat menarik nafas lega setelah berjaya mengunci 'top 4' walaupun prestasi sedikit tidak konsisten, lebih-lebih lagi pada bulan Januari.

 

Kini, hanya 82 hari lagi sebelum Liverpool meneruskan saingan mereka dalam Liga Perdana Inggeris, namun mereka perlu melakukan persiapan rapi untuk mencabar kejuaraan pada musim akan datang. Seperti biasa, persiapan itu dilakukan dengan melakukan perlawanan persahabatan pra-musim menentang pelbagai jenis pasukan bola sepak di dunia.

 

Maka, apakah persiapan yang telah dirancang oleh Liverpool musim hadapan? Mari kita lihat:

 

1. ASIA TROPHY

 

Asia Trophy adalah pertandingan yang dicipta oleh Premier League untuk meningkatkan lagi populariti mereka di rantau Asia. Pertandingan ini akan diadakan di Hong Kong dan Shanghai.

Tidak pasti kelab EPL yang akan terlibat, namun kemungkinan besar West Bromwich Albion, Leicester City dan Crystal Palace akan terlibat.

Kejohanan ini akan diadakan pada 20 dan 22 Julai 2017. Liverpool hanya akan bermain 2 perlawanan di sana. Dijangka kelab Shanghai SIPG antara kelab tempatan yang akan dijemput menyertai kejohanan ini.

 

2. HERTHA BERLIN

 

Hertha Berlin dan Liverpool telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 29 Julai 2017 di Olympiastadion, Berlin. Perlawanan ini diadakan sempena sambutan 125 tahun Liverpool.

Hertha Berlin menamatkan saingan Bundesliga musim 2016/17 di tangga ke-6 dan layak ke Europa League musim hadapan.

Hertha Berlin mempunyai pemain hebat seperti Vedad Ibisevic dan Solomon Kalou. Allan merupakan pemain yang dipinjamkan oleh Liverpool kepada Hertha Berlin sepanjang musim 2016/17

 

 

3. AUDI CUP

 

Audi Cup adalah piala yang dianjurkan 2 tahun sekali, dan dijalankan selama 2 hari. Liverpool adalah kelab yang akan mewakili England dalam saingan tahun ini, bersama Bayern Munich, Atletico Madrid, dan mungkin AC Milan

Piala ini akan menggunakan format kalah mati, bermula dengan semi final. Pasukan yang menang akan berentap di final, manakala yang tewas akan merebut tempat ke-3

 

 

KESIMPULAN

 

Liverpool dilihat tidak akan bermain-main dengan pra musim kali ini. Menjadi adat di Jerman, bahawa kelab-kelab Jerman akan menganggap perlawanan persahabatan sebagai perlawanan kompetitif biasa.

 

Namun begitu ada khabar angin mengatakan Liverpool akan menambah dua lagi perlawanan persahabatan, satu sebelum Asia Trophy dan satu lagi selepas Audi Cup. Apapun, harapannya agar perlawanan persahabatan akan menjadikan pemain kembali fit dan tajam menjelang awal musim dan playoff Champions League nanti.

 

#YNWA

#WeAllReds