Kenyataan Rasmi All Reds Malaysia

Wednesday, October 11, 2017

KENYATAAN RASMI


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat ARM. Kenyataan ini bagi menjelaskan mengenai status keahlian Kelab Sukan All Reds Malaysia (ARM) bagi musim 2017/2018. Tarikh pendaftaran dan pembaharuan keahlian dengan rasminya telah ditutup pada 16.09.2017. Musim ini ARM telah mengorak satu langkah lagi dengan pelaksanaan pembayaran keahlian secara online tanpa ahli perlu menghantar resit pembayaran kepada Jawatankuasa Pendaftaran. Justeru itu, Jawatankuasa Pendaftaran sedang membuat tugasan-tugasan akhir untuk memastikan tiada keciciran yang berlaku dalam pendaftaran dan pembaharuan keahlian musim ini. Makluman tuan/puan, anda diterima sebagai ahli ARM apabila resit pembayaran keahlian diterima melalui emel yang menyatakan perbayaran telah berjaya. Pada ketika ini kit keahlian telah ditempah untuk ahli-ahli ARM yang berdaftar dan dijangka akan diedarkan selewat-lewatnya pada awal November 2017.


Selain itu, untuk pengetahuan ahli-ahli ARM, pihak jawatankuasa induk sedang menilai cara yang terbaik untuk menyampaikan maklumat aktiviti dan perkembangan ARM kepada semua ahli tanpa berlaku keciciran maklumat, ini kerana jumlah ahli yang berdaftar dengan ARM melebihi jumlah yang boleh ditampung oleh whatapps group. Ini merupakan perkembangan yang positif bagi ARM. Oleh yang demikian, saya selaku Setiausaha memohon agar ahli bersabar sehingga satu keputusan dapat dicapai demi memastikan semua ahli tidak keciciran maklumat. Selain itu, Jawatankuasa Induk ARM amat berbesar hati jika ahli-ahli berdaftar ARM dapat memberi ruang dan masa untuk menghadirkan diri di tempat-tempat live viewing di tempat-tempat yang berdekatan dan dikelolakan oleh ARM bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini ARM serta beramah mesra dengan ahli-ahli ARM yang lain serta penyokong-penyokong Liverpool.
Sekian, Terima Kasih.

 

Yang Menjalankan Tugas
Zamzuri Zainol Abidin
Setiausaha
Kelab Sukan All Reds Malaysia