KLOPP DAN IDEA REVOLUSI LIVERPOOL

 

We have to change from doubters to believers. Now.

Kita perlu berubah dari seorang yang ragu-ragu kepada seorang yang percaya. Sekarang.

Itu pesan Jurgen Klopp sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan paling panas dan paling kritikal di Liverpool. Pesanan yang ringkas dan nampak cukup bersahaja tapi punyai maksud yang sangat mendalam.

Dalam masa yang sama, pesanan tersebut cukup tepat dengan suasana peminat Liverpool. Kita berada dalam satu suasana ketidak tentuan. Tidak tahu tentang arah tuju pasukan kesayangan kita ini. Tidak pasti bakalkah ada kejayaan yang dapat digapai oleh skuad Merseyside selepas ini. Kegelisahan yang ditambah pula dengan prestasi serba tidak menentu pasukan sejak kali terakhir menjulang piala pada musim 2011/12.

Klopp memulakan hayunan langkahnya di Liverpool dengan baik. Musim pertamanya sahaja telah membawa 1001 keterujaan buat peminat. 2 aksi final, Piala EFL dan Europa League, menjadi sandaran untuk peminat mengimpikan yang lebih baik untuk pasukan bimbingan Klopp.

Musim 2016/17 dilalui dengan keterujaan apabila pasukan beraksi baik sebelum agak tersasar di pertengahan musim. Namun, impian untuk kembali berada di saingan Champions League tercapai meskipun terpaksa melalui laluan playoff.

Idea revolusi Klopp untuk peminat kini bolehlah dianggap berjaya dilakukannya. Gema suara peminat di Anfield serta di seluruh dunia jadi saksi yang kini kita cukup yakin dengan pasukan Liverpool.

Dan kini idea revolusi itu telah mula diterapkan Klopp kepada pemain. Buktinya lihat sahaja kepada senarai pemain yang dibawa masuk Klopp untuk skuad utama Liverpool. Rata-rata pemain yang dibawa masuk Klopp ini berada dalam lingkungan usia awal atau pertengahan 20an. Hanya dua orang pemain sahaja, Ragnar Klavan (30) dan Alex Manninger (39), yang berada dalam lingkungan usia lebih 26 tahun ketika diperkenalkan sebagai pemain Liverpool.

 

2 permata dari Afrika tunjang utama Liverpool

2 permata Afrika tunjang utama Liverpool musim ini

 

 

Seperkara yang menarik tentang idea revolusi Klopp di kalangan pemain dapat dikesan melalui temu bual yang dilakukan bersama pemain-pemain baru. Satu ayat yang pasti diluahkan mereka adalah berkaitan projek yang direncanakan Klopp untuk Liverpool. Projek yang membuatkan secara sekelip mata nama-nama besar dikaitkan untuk menyertai Liverpool.

Dari awalnya kita hanya mampu membawa masuk pemain seperti Stewrat Downing, Charlie Adam dan Jose Enrique di musim penuh pertama FSG bergelar pemilik Liverpool kini kita bergerak ke era di mana hanya yang terbaik bakal berada bersama Klopp di Liverpool.

Persoalan yang mungkin ditanyakan peminat ketika ini pastinya bilakah piala yang diidamkan dapat dibawa pulang ke Liverpool? Satu persoalan yang saya sendiri dan pastinya jutaan peminat Liverpool seluruh dunia cukup teruja untuk menantikan detiknya.

Kini kami percaya

 

Yakinlah saat manis sebagai penyokong Liverpool semakin hampir. Kerana kita kini punyai keyakinan diri yang Liverpool bakal kembali ke era kegemilangannya. 

Leave your comment