MENANG 4-3 MENENTANG MAN CITY BUKAN SATU KEMENANGAN BIASA

Oxlade-Chamberlain meraikan jaringan beliau menentang Man City

 

Wisel penamat ditiupkan di Anfield mengesahkan kemenangan 4-3 Liverpool ke atas Man City. Kemenangan ini mengejutkan peminat bola seantero dunia kerana kemampuan skuad Klopp yang dikatakan 'biasa-biasa' ini untuk menewaskan Man City yang dibarisi pemain 5 bintang dari penjaga gol hingga ke bangku simpanan. Lebih mengejutkan, kemampuan Klopp dan Liverpool untuk mengatasi Man City dengan jaringan 4-1 pada separuh masa kedua di kala ramai menjangkakan skuad Man City akan bangkit pada separuh masa kedua berikutan aksi longlai mereka pada separuh masa pertama di mana mereka tewas hampir semua key battle.

 

Bagi peminat Man City, mereka menganggap kemenangan Liverpool hanya satu kemenangan biasa kerana Liverpool hanya mendapat 3 mata dan tidak merangkul sebarang trofi setelah perlawanan ini tamat. Namun bagi saya, kemenangan ini bukan satu kemenangan biasa, tetapi ia merupakan satu kemenangan yang paling berharga musim ini. Biar saya jelaskan mengapa kemenangan ini cukup luar biasa.

 

1. Jurgen Klopp membuktikan bahawa beliau satu-satunya pengurus yang boleh menyaingi Pep Guardiola

 

 

Klopp paling banyak menang menentang Guardiola dengan 6 kemenangan sepanjang karier pengurusannya

 

Pertemuan antara skuad Klopp dan Guardiola hanya bermula di Bundesliga, di mana Guardiola sebagai pengurus Bayern dan Klopp sebagai pengurus Dortmund ketika itu. Pertemuan antara mereka berlarutan hingga ke Premier League (EPL) setelah Guardiola memilih Man City dan Klopp memilih kelab kegemarannya, Liverpool.

 

Klopp berjaya mengatasi Guardiola dalam 6 perlawanan, seri sekali dan tewas 5 kali. Dalam 6 perlawanan itu, 2 kemenangan yang dicatatkan ialah ketika beliau bersama Liverpool. Setelah saya selidiki, Klopp akan menewaskan Guardiola 1 kali dalam 1 musim sepanjang kariernya. Pernah dalam satu musim, Klopp dan Guardiola bertemu 3 kali. Klopp hanya berjaya menang sekali dan tewas 2 lagi perlawanan. Rekod ini membuktikan bahawa hanya Klopp berjaya menyaingi Guardiola dengan baik berbanding pengurus lain seperti Mourinho, Wenger dan Pochettino.

 

2. Keyakinan yang sedia tinggi menjadi lebih tinggi

 

 

Moral skuad ini dalam keadaan yang sangat baik setelah mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah sejak Oktober

 

Moral skuad ini tidak tercalar dengan pemergian Coutinho ke Barcelona walaupun ramai yang menjangkakan perkara itu berlaku. Namun moral pemain sangat tinggi dalam skuad Liverpool ini pada hari ini sehingga ada pemain Liverpool membuat kenyataan (saya tak ingat siapa yang buat kenyataan tu) bahawa tidak ada pemain yang takut dengan kehebatan pemain-pemain Man City di Melwood pada ketika itu.

 

Sebelum perlawanan, saya sendiri merasakan keyakinan dalam skuad Liverpool untuk meraih 3 mata dalam perlawanan ini. Kemampuan dan kehebatan pemain di bawah Klopp ditambah dengan rekod di tempat sendiri serta pemain ke-12 menjadikan saya sedikit yakin dengan mereka. Akhirnya mereka dapat menzahirkan apa yang mereka ada dengan kemenangan 4-3 ini seterusnya melebarkan rekod unbeaten mereka kepada 17 perlawanan. Dengan kemenangan ini, diharap Liverpool dapat meneruskan rentak mereka dengan meraih 3 mata menewaskan Swansea nanti.

 

Sebagai penutup, saya menasihatkan kepada pencinta Liverpool untuk terus yakin kepada pemain sedia ada, kerana pemain-pemain inilah yang menepati kehendak dan citarasa taktik Klopp. Pemain-pemain seperti Karius, Lovren dan Hendo boleh dikritik atas persembahan ala kadar mereka namun tidak perlu mengancam dan menghina mereka seperti fans di luar negara sana. Sekian

 

#YNWA

#WEALLREDS

 

*Artikel ini dikarang oleh Taufiq Dzulkifli, lebih mesra dikenali sebagai Topek selaku wakil media ARM. Artikel ini hanya pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat keseluruhan All Reds Malaysia*

 

 

 

Leave your comment