PENGALAMAN KLOPP DALAM MENGATASI KEHILANGAN PEMAIN BINTANG DI BVB DAN KAITANNYA DENGAN COUTINHO

Klopp merupakan pengurus Borussia Dortmund sebelum mengambil alih Liverpool

 

Sebelum menjadi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp merupakan seorang pengurus kelab Jerman iaitu Borussia Dortmund. Sepanjang beliau berada di kelab itu, beliau telah menaikkan reputasi kelab itu daripada kelab hanya penyeri saingan liga kepada pencabar kejuaraan. Selain itu, beliau juga berjaya mara ke final Liga Juara-Juara Eropah namun tewas kepada Bayern Munich di final yang berlangsung di Wembley.

 

Klopp dan Robben berpelukan setelah Dortmund tewas 1-2 kepada Bayern Munich ketika final UEFA Champions League

 

Namun begitu, tugas Klopp bukan mudah. Beliau diuji dengan kehilangan pemain bintang yang beliau sendiri cipta. Selepas musim 2011-12 di mana Dortmund ketika itu menjadi juara liga, beliau kehilangan Shinji Kagawa ke Man United serta beberapa pemain lain seperti Lucas Barrios. Namun Klopp pada musim yang sama telah membawa masuk pemain sayap lincah dari Borussia Monchengladbach iaitu Marco Reus dengan harga 14 juta pound. Kemudian, Reus menjadi antara pemain yang paling disegani peminat dan bukan peminat dengan aksi memukaunya sehinggalah beliau dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Liverpool ketika itu. Namun beliau lebih berminat untuk kekal bersama kelab itu sehingga ke hari ini.

 

 

Marco Reus merupakan antara pemain yang terawal dibawa masuk oleh Klopp ketika era kebangkitan Dortmund

 

Musim 2013-14 bermula dengan satu perpindahan paling dikesali Klopp hinggga ke hari ini. Beliau telah menjual pemain kesayangannya Mario Gotze kepada Bayern Munich dengan harga hanya 37 juta euro. Klopp pernah berkata kepada media bahawa Gotze pergi ke Bayern kerana beliau merupakan pilihan Guardiola dan mahu bermain di bawah Guardiola. Namun ada musim yang sama juga, Klopp berjaya membawa Henrikh Mkhitaryan dan Pierre-Emerick Aubameyang, dan kedua-dua pemain ini merupakan pemain yang sangat disegani dan memberikan impak yang begitu besar kepada Dortmund ketika itu.

 

 

Lewandowski merupakan penyerang yang digilap bakatnya oleh Klopp dan menjadi antara penyerang paling berbisa di dunia sehingga ke hari ini

 

Musim 2014-15 merupakan musim yang paling parah untuk Klopp kerana selain menamatkan musim di tempat ke-7, beliau juga kehilangan penyerang berbisa Dortmung ketika itu iaitu Robert Lewandowski secara percuma ke Bayern Munich. Musim itu menyaksikan Klopp membawa masuk 2 penyerang iaitu Ciro Immobile dan Adrian Ramos. Selain itu, beliau juga membawa semula Shinji Kagawa dari Man United dan Nuri Sahin dari Real Madrid. Walaubagaimanapun strategi ini gagal dan Dortmund hampir tersingkir setelah separuh musim. Akhirnya Dortmund berada di tangga ke-7 liga pada akhir musim dan layak ke Europa League.

 

Pemergian Coutinho ke Barcelona sekali lagi menguji kebolehan Klopp untuk menggantikan pemain bintang

 

Kini skrip hampir sama dilalui Klopp dan pemain yang meninggalkan Liverpool ialah Coutinho. Namun rekod baik Klopp dalam menggantikan pemain utama menjadi keyakinan saya bahawa Klopp akan menggantikan beliau dengan pemain yang sama kebolehannya atau mungkin lebih baik berbanding Coutinho. Namun begitu, saya kurang pasti dengan kemampuan Klopp untuk membawa pemain baru pada bulan Januari kali ini kerana beliau pernah menyatakan bahawa harga pemain pada bulan Januari akan meningkat. Saya berharap agar Klopp berjaya membawa pemain yang mampu menggantikan Coutinho dengan baik.

 

Sekian.

#YNWA

#WeAllReds

 

Artikel ini ditulis sendiri oleh Taufiq Dzulkifli (Topek), mewakili media ARM. Artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili All Reds Malaysia secara keseluruhannya

Leave your comment