SERI LAWAN SPURS: MEMANG SALAH PENGADIL, TETAPI...

Jaringan akhir Mo Salah tidak cukup untuk membawa pulang 3 mata penuh

 

Perlawanan berakhir. Kekecewaan melanda peminat Liverpool. 3 mata yang sepatutnya diraih, tidak dapat dibawa betul-betul hingga ke wisel penamat. Kredibiliti dan mutu pengadilan Jon Moss serta penjaga garisan pada malam itu diragui. Harry Kane menyempurnakan penalti pada minit ke 90+5 perlawanan walaupun Mohamed Salah menjaringkan gol ala Messi pada minit ke 90+1 untuk mendahului 2-1.

 

Pengadil malam itu, Jon Moss menjadi tumpuan. Kegagalan beliau untuk membuat keputusan sehingga perbualan beliau dengan penjaga garisan tular di laman twitter seterusnya menjadi topik hangat seluruh dunia. Semua serba tak kena apabila dalam perbualan itu, secara tiba-tiba Jon Moss menghadiahkan penalti kepada Spurs beberapa saat setelah beliau meminta pengadil ke-4, Martin Atkinson untuk mendapatkan laporan lanjut berkenaan 'terjahan' Karius terhadap Kane yang dilihat seakan dive.

 

 

Jon Moss dan penjaga garisan menjadi kontroversi dalam perlawanan minggu lalu dengan memberikan 2 penalti kepada Spurs

 

Penalti kedua juga dilihat kontroversi apabila Lamela kelihatan 'berlakon' setelah diasak oleh van Dijk. Ada peminat Liverpool yang berpendapat bahawa Lamela telah offside terlebih dahulu sebelum kejadian itu berlaku. Lebih kontroversi, penjaga garisan dilihat menggenggam tangannya setelah Jon Moss memberikan penalti kedua Spurs pada hujung perlawanan.

 

Namun di sebalik kekecewaan itu, saya melihat bahawa kekecewaan ini sepatutnya dihalakan kepada Klopp dan pemain-pemain Liverpool. Pada pendapat saya, pemain-pemain tidak beraksi dengan begitu baik pada separuh masa kedua. Pada separuh masa pertama, Liverpool mendapat gol awal menerusi Mohamed Salah hasil kesilapan Eric Dier. Selepas itu, perlawanan seimbang namun Liverpool lebih banyak menguasai bola.

 

 

Klopp dan para pemain dikritik atas aksi separuh masa kedua yang hambar. Mereka lebih banyak bertahan

 

Separuh masa kedua, Liverpool kelihatan hanya banyak bertahan dan menyerap setiap asakan Spurs ketika itu. Kemudian jaringan cantik Wanyama menyamakan kedudukan 1-1. Selepas itu, gaya permainan Liverpool seakan tidak ada hala tuju. Gol kedua Mohamed Salah walaupun cantik tetapi bak kata orang putih, out of nowhere. Liverpool boleh lah dianggap bertuah andai berjaya membawa 3 mata pulang pada malam itu.

 

Saya berharap agar selepas ini, Liverpool perlu cuba menutup perlawanan secepat mungkin dengan menjaringkan banyak gol serta fokus sehingga wisel penamat perlawanan. Bahagian pertahanan perlu lebih solid menjelang pertemuan dengan Southampton hujung minggu ni. 3 mata sangat penting untuk menaikkan moral pasukan dan peminat seluruh dunia. Respek juga kepada Mohamed Salah yang memberikan jersi beliau kepada seorang kanak-kanak di Anfield walaupun keputusan tidak memihak Liverpool malam itu.

 

Class act daripada Mohamed Salah yang memberikan jersinya kepada seorang kanak-kanak ketika tamat perlawanan

 

Apapun yang terjadi, kekal YNWA sampai mati!

 

#YNWA

#WEALLREDS

 

 *Artikel ini dikarang oleh Taufiq Dzulkifli, lebih mesra dikenali sebagai Topek selaku wakil media ARM. Artikel ini hanya pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat keseluruhan All Reds Malaysia*

Leave your comment