RSS

Blog posts of '2017' 'August'

KLOPP DAN IDEA REVOLUSI LIVERPOOL

 

We have to change from doubters to believers. Now.

Kita perlu berubah dari seorang yang ragu-ragu kepada seorang yang percaya. Sekarang.

Itu pesan Jurgen Klopp sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan paling panas dan paling kritikal di Liverpool. Pesanan yang ringkas dan nampak cukup bersahaja tapi punyai maksud yang sangat mendalam.

Dalam masa yang sama, pesanan tersebut cukup tepat dengan suasana peminat Liverpool. Kita berada dalam satu suasana ketidak tentuan. Tidak tahu tentang arah tuju pasukan kesayangan kita ini. Tidak pasti bakalkah ada kejayaan yang dapat digapai oleh skuad Merseyside selepas ini. Kegelisahan yang ditambah pula dengan prestasi serba tidak menentu pasukan sejak kali terakhir menjulang piala pada musim 2011/12.

Klopp memulakan hayunan langkahnya di Liverpool dengan baik. Musim pertamanya sahaja telah membawa 1001 keterujaan buat peminat. 2 aksi final, Piala EFL dan Europa League, menjadi sandaran untuk peminat mengimpikan yang lebih baik untuk pasukan bimbingan Klopp.

Musim 2016/17 dilalui dengan keterujaan apabila pasukan beraksi baik sebelum agak tersasar di pertengahan musim. Namun, impian untuk kembali berada di saingan Champions League tercapai meskipun terpaksa melalui laluan playoff.

Idea revolusi Klopp untuk peminat kini bolehlah dianggap berjaya dilakukannya. Gema suara peminat di Anfield serta di seluruh dunia jadi saksi yang kini kita cukup yakin dengan pasukan Liverpool.

Dan kini idea revolusi itu telah mula diterapkan Klopp kepada pemain. Buktinya lihat sahaja kepada senarai pemain yang dibawa masuk Klopp untuk skuad utama Liverpool. Rata-rata pemain yang dibawa masuk Klopp ini berada dalam lingkungan usia awal atau pertengahan 20an. Hanya dua orang pemain sahaja, Ragnar Klavan (30) dan Alex Manninger (39), yang berada dalam lingkungan usia lebih 26 tahun ketika diperkenalkan sebagai pemain Liverpool.

 

2 permata dari Afrika tunjang utama Liverpool

2 permata Afrika tunjang utama Liverpool musim ini

 

 

Seperkara yang menarik tentang idea revolusi Klopp di kalangan pemain dapat dikesan melalui temu bual yang dilakukan bersama pemain-pemain baru. Satu ayat yang pasti diluahkan mereka adalah berkaitan projek yang direncanakan Klopp untuk Liverpool. Projek yang membuatkan secara sekelip mata nama-nama besar dikaitkan untuk menyertai Liverpool.

Dari awalnya kita hanya mampu membawa masuk pemain seperti Stewrat Downing, Charlie Adam dan Jose Enrique di musim penuh pertama FSG bergelar pemilik Liverpool kini kita bergerak ke era di mana hanya yang terbaik bakal berada bersama Klopp di Liverpool.

Persoalan yang mungkin ditanyakan peminat ketika ini pastinya bilakah piala yang diidamkan dapat dibawa pulang ke Liverpool? Satu persoalan yang saya sendiri dan pastinya jutaan peminat Liverpool seluruh dunia cukup teruja untuk menantikan detiknya.

Kini kami percaya

 

Yakinlah saat manis sebagai penyokong Liverpool semakin hampir. Kerana kita kini punyai keyakinan diri yang Liverpool bakal kembali ke era kegemilangannya. 

TIPIS. UGLY WIN. MENANG NASIB…

Sadio Mane meraikan jaringan tunggal Liverpool menewaskan Crystal Palace

 

Antara yang dapat dipetik dan didengar selepas Liverpool FC (LFC) melakarkan kemenangan pertama musim 2017/2018 dengan menumbangkan skuad Frank De Boer 1-0. Bukan sekadar diluahkan oleh penyokong lawan malah ada penyokong LFC sendiri berpendapat yang sama.Sebagai penyokong yang masih ralat dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan pembukaan menentang Watford dan rasa lega dengan 3 mata berharga yang dipungut, amat sukar untuk saya memberi penilaian yang jujur walaupun ada kebenaran dari apa yang dinyatakan.

 

Walaupun dakwaan ini ada kebenaran atau jelas terbukti sepanjang 90 minit perlawanan dengan Crystal Palace ini, kita patut rasa syukur kerana LFC berjaya memenangi perlawanan yang penuh tension ini. Kemenangan ini tampak biasa tetapi sepatutnya kemenangan menghadirkan rasa yang sangat istimewa bagi LFC. Kegagalan menumbangkan Crystal Palace di laman sendiri sejak 2015, adalah satu beban yang sangat besar di atas bahu LFC. Kemenangan ini bukan sekadar lebih manis tetapi mampu menaikkan moral pasukan bahawa mereka mampu bawa saingan yang sepatutnya musim ini. Bukan sekadar itu, moral pasukan sepatutnya kini berada di tahap tinggi kerana sebelum perlawanan kedua EPL ini, LFC telah berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh semua pasukan di Bundesliga termasuk Bayern Munich iaitu berjaya mencatat kemenangan di laman Hoffenheim setelah mereka begitu degil untuk tumbang sejak 14 Mei 2016.

 

Andrew Robertson memberikan persembahan yang cukup baik ketika menentang Crystal Palace

 

Daripada perlawanan ini juga, Klopp juga boleh menarik nafas lega kerana salah satu kelemahan nyata musim lepas iaitu pertahanan kiri kini semakin baik. Pada musim lepas, pilihan Klopp bagi posisi ini sangat terhad. Moreno gagal memberi mutu permainan yang diharapkan oleh Klopp dan terpaksa meletakkan Milner yang 6 tahun lebih tua. Namun, tenaga yang ada pada Milner tidak seperti dulu. Walaupun dia berjaya melaksanakan tugas di bahagian kiri, namun ianya tidak menghalang pihak lawan menjadikan bahagian kiri sebagai laluan utama melancarkan serangan. Jika Milner gagal mengekang asakan lawan sekalipun, nama beliau akan tetap jadi pilihan utama pada perlawanan seterusnya kerana Moreno masih gagal memberikan sesuatu yang berkualiti. Kini bukan sahaja Moreno dilihat bangkit dengan mutu permainan yang lebih meyakinkan sepanjang siri perlawanan persahabatan pra-musim, perlawanan pembukaan dengan Watford dan play-off dengan Hoffenheim, malah Klopp ada Andrew Robertson yang beraksi cemerlang pada perlawanan Sabtu lepas. Robertson tidak menampakkan sebarang rasa janggal beraksi dengan pasukan sehebat LFC malah menghiburkan dengan kawalan bola yang baik, tackle yang berkesan tetapi perlu sedikit penambahbaikan dari sudut hantaran ke dalam kotak penalty yang kerap berjaya dibaca dan dipintas oleh bek Palace. Apapun secara keseluruhan, bekas pemain Hull yang dibeli dengan harga £10juta ini mampu meredakan kepeningan Klopp untuk benteng kiri sekaligus memberi tekanan pada Alberto Moreno supaya terus mengekalkan atau menaikkan mutu permainannya.

 

Kehilangan Coutinho mula dirasai apabila bahagian tengah Liverpool nampak kurang kreatif

 

Pertahanan masih kelihatan goyah tetapi lebih baik dari perlawanan pembukaan di Watford. Gandingan Klavan dan Matip di tengah benteng tampak lebih meyakinkan walaupun beberapa kali digertak oleh Crystal Palace dan terutamanya percubaan Benteke yang sedikit melepasi palang. Joe Gomez juga tidak mengecewakan dengan berjaya menyerap serangan dan sesekali bijak mencipta peluang untuk barisan depan. Persoalan yang tampak nyata adalah jentera tengah. Kita kena akui bahawa ketiadaan Coutinho memang meninggalkan kesan yang besar pada enjin midfield LFC terutama attacking midfield. Hendo masih terkial-kial mencari rentak dan aksinya nampak tidak selesa. Tidak pasti samada dia masih cedera atau masih mencari keserasian bergandingan dengan Milner yang selama ini bermain di bahagian kiri. Cross field dan hantaran jauh Hendo tidak tepat dan mudah dipintas. Hendo perlu menaikkan rentak permainannya dan perlu segera cipta keserasian dengan Milner.

 

Firmino masih buntu mencari jaringan menerusi open play sejak beralih ke no 9

 

Manakala di bahagian depan; 23 percubaan kearah gol dan 13 daripadanya tepat tetapi hanya mampu membolosi 1 menceritakan segalanya tentang jentera serangan LFC. Samada penjaga gol Crystal Palace, Hennessey beraksi terlalu baik atau penyerang kita kurang kreativiti dan ketajaman dalam menterjemahkan 23 percubaan menjadi jumlah gol yang lebih banyak. Mane yang akhirnya memecah tembok Palace pada minit ke 73 turut menyumbang pada deretan percubaan ini dan paling menjadi tumpuan adalah Firmino yang masih gagal menjaringkan gol padang (Watford – penalty) selepas 3 perlawanan. Kegagalan ini menjadikan penyokong semakin kuat berpegang pada fakta Sumpahan No 9 yang sebelum ini menyelubungi karier Andy Carroll, Ricky Lambert, Iago Aspas dan Christian Benteke semasa mereka di LFC. Ada yang mendakwa Firmino tidak mampu beraksi pada tahap terbaik jika tidak digandingkan dengan Coutinho. Firmino perlu buktikan dakwaan ini tidak benar. Dia perlu keluar dari bayang-bayang Coutinho. Perlawanan baru masuk minggu kedua. Perjalanan masih jauh dan Firmino masih berpeluang untuk membuktikan bahawa sumpahan No 9 adalah sekadar mitos.

 

Hoffenheim bakal bertandang ke Anfield. Untuk play-off pusingan kedua, kelebihan ada pada LFC dengan gol di tempat lawan tetapi kelebihan ini juga mewujudkan tekanan pada LFC. Bukan setakat tekanan tetapi mungkin juga kemalasan. Kita berharap keputusan sekadar seri mencukupi tetapi untuk tidak mengambil risiko; gol awal juga elok jika dapat LFC hadirkan pada awal pagi Khamis ini.

 

Kemudian, melayan kunjungan Arsenal yang baru dimalukan di bet365 Stadium adalah satu tugas yang sangat sukar. Come on Redmen..

 

Kita jumpa lagi di artikel akan datang.

 

#WeAllReds

 

 Artikel ini dikarang oleh Shankly List a.k.a Apai

 

CRYSTAL PALACE BUKAN LAWAN MUDAH!

Luis Suarez menangis setelah tewas 3-2 kepada Crystal Palace, seterusnya gagal membawa trofi liga untuk Liverpool

 

Crystal Palace merupakan nama kelab yang sering menghantui peminat Liverpool sejak 2014. Kelab inilah yang menggagalkan misi kejuaraan liga Liverpool pada musim 2013/14 walaupun menang menentang Manchester City. Kelab ini jugalah yang mempunyai pemain target man berbisa bernama Christian Benteke, yang gemar melakukan jaringan menentang Liverpool sejak beliau bersama Aston Villa lagi.

 

 

Mempertahankan set-piece merupakan masalah Liverpool sejak 2009, dan masalah ini kian membarah hingga kini

 

Crystal Palace bakal turun menentang Liverpool di Anfield pada hari Sabtu ini jam 10 malam. Masalah yang dihadapi Liverpool masih belum mampu dibaiki. Perlawanan menentang Hoffenheim menyaksikan Liverpool sudah boleh menguruskan bahagian pertahanan set-piece, namun di bahagian pertahanan banyak lagi soalan yang belum dijawab. Ramai yang bertanya apakah Dejan Lovren layak untuk berada dalam kesebelasan utama, dan majoritinya menjawab 'tidak' setelah menyaksikan persembahan beliau ketika menentang Hoffenheim. Lovren menjatuhkan lawan dalam kotak penalti pada sepauh masa pertama dan gagal membuat perangkap offside yang lebih efektif, menyebabkan gol kedua lawan terhasil.

 

 

Lovren merupakan hero Liverpool 2 musim lalu ketika menentang Borussia Dortmund. Kini Lovren kembali menjadi mangsa cemuhan kerana persembahan teruk menentang Watford

 

Ada masalah lain yang dihadapi Liverpool. Menentang kelab pertengahan dan bawahan liga masih menjadi kerisauan. Ada yang berpendapat bahawa Liverpool perlu menentang kelab besar setiap minggu supaya boleh menang liga. Namun, kelab kecil inilah yang mampu menidakkan Liverpool untuk berada dalam kelompok 4 teratas.

 

Steve Mounie menjadi watak utama dan menjaringkan 2 gol serta membantu pasukannya menewaskan Crystal Palace 3-0

 

Namun, Crystal Palace juga menghadapi masalah. Walaupun mereka berjaya menumpaskan Liverpool musim lalu di Anfield, mereka bakal turun ke Anfield selepas dibaham dan dimalukan oleh kelab baru naik ke EPL, Huddersfield Town dengan jaringan 3-0. Frank de Boer pastinya akan banyak melakukan perubahan untuk perlawanan menentang Liverpool, atau mungkin Frank de Boer akan mengarahkan skuadnya untuk membalas dendam kekalahan 3-0 itu dan melepaskannya ke arah Liverpool. Bab ini, Liverpool perlu fokus dan bersedia. 100%

 

Jon Flanagan meraikan jaringan Dominic Solanke ketika menentang Crystal Palace pada bulan Julai yang lalu. Liverpool menang 2-0

 

Pra musim yang lalu menyaksikan Liverpool berjaya menewaskan Crystal Palace 2-0 hasil jaringan Solanke dan Origi. Namun kata orang, pra musim tidak menjanjikan apa-apa. Liverpool merupakan kelab yang melalui pra musim terbaik berbanding kelab-kelab lain menurut laman web Squawka, namun masih menghadapi masalah ketika bertemu Watford.

 

Untuk perlawanan ini nanti, saya berharap Klopp bakal melakukan rotation. Sedikit sahaja, tak perlu drastik. Mungkin sudah boleh untuk beri peluang kepada Andrew Robertson yang masih belum melakukan debut kompetitif bersama Liverpool. Dengan perlawanan timbal balik menentang Hoffenheim dijangka pada hari Rabu, pastinya Klopp akan melakukan sedikit pertukaran agar dapat menang selesa menentang Hoffenheim di Anfield nanti. Pendapat saya, salah seorang antara Salah dan Mane perlu direhatkan dan kemudian beri peluang kepada Ryan Kent atau Dominic Solanke.

 

Sekian. You'll Never Walk Alone

#YNWA

#WeAllReds

 

* Perlawanan antara Liverpool menentang Crystal Palace boleh ditonton menerusi saluran Astro 816 dan 834 HD

*  Artikel ini ditulis oleh Taufiq Dzukifli, mewakili media ARM
MENILAI PERSEDIAAN LIVERPOOL MENJELANG MUSIM BAHARU 2017/18

Stadium Anfield telah bersedia dengan rumput baru menjelang musim baru 2017/18

 

Setelah terpisah selama beberapa bulan dengan aksi bolasepak kompetitif, akhirnya tarikh yang dinantikan oleh peminat bolasepak versi EPL semakin tiba. Tirai musim 2017/2018 akan dibuka pada 12hb Ogos 2017 dan dengan sendirinya perlumbaan marathon ke garisan penamat yang diletakkan pada bulan May 2018 akan bermula.  Maka penuhlah kedai makan yang mempunyai skrin besar dengan pengunjung yang selalunya memilih untuk menonton perlawanan pasukan kesayangan masing-masing bersama kawan-kawan. Tempoh perlumbaan 9 bulan ini juga akan diwarnai dengan pelbagai keputusan samada yang dijangka mahupun diluar jangkaan dan diikuti dengan post atau status susulan keesokan harinya di media sosial dari penyokong pasukan yang menang mempersendakan pasukan yang kalah. Suasana yang menambah keseronokan dan adakalanya menimbulkan ketegangan.

Kita tinggalkan rencah serta rempah ratus EPL ini dan kita fokuskan pada tujuan utama saya tuliskan artikel ini iaitu menilai persediaan pasukan Liverpool FC (LFC) untuk menghadapi musim 2017/18 ini dengan lebih jujur, terbuka, adil dan tidak prejudis.

Liverpool melalui pra musim yang sangat baik, termasuk kemenangan 3-0 menentang Bayern Munich

 

Jika melihat perjalanan persediaan LFC untuk musim 2017/2018 ini, ianya seperti skrip yang ditulis dengan teliti dan jalan cerita yang disusun rapi untuk menaikkan mood penyokong. Tarikh bermula EPL musim ini adalah pada 12/08/2017 dan tarikh yang sama juga siri perlawanan persahabatan LFC bermula pada bulan Julai (12/07/2017). Genap sebulan perjalanan persediaan LFC untuk menghadapi musim baru dan dlm tempoh ini LFC telah mengharungi 8 perlawanan kesemuanya. Jika keputusan perlawanan dinilai dari 90 minit; bermakna LFC tidak merekodkan sebarang kekalahan (6 menang & 2 seri). Tetapi perlawanan akhir Piala Audi memerlukan pemenang yang melihatkan keputusan terpaksa diambil dari penentuan penalty yang melihat LFC kecundang dengan 4-5. Apapun, Jurgen Klopp (JK) berhak untuk dihadiahkan ucapan Tahniah kerana menghidangkan sesuatu yang positif dan menampakkan LFC mampu menyerap tekanan sekiranya mereka dipaksa untuk mengharungi jadual yang padat pada musim baru ini seperti yang LFC lalui pada musim 2016/2017 dimana dalam Jan 2016 menjalani 9 perlawanan dan Feb pula 8 perlawanan.

 

Philippe Coutinho dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. Namun pihak Liverpool menegaskan beliau bukan untuk dijual


Dengan musim yang akan bermula dalam beberapa hari lagi, kita digegarkan dengan berita Neymar memilih untuk ke PSG dengan harga yang diluar dari kotak kewarasan manusia. Kita tidak hairan dengan harga atau keputusan Neymar tetapi kita perlu terima kenyataan bahawa LFC bakal menerima kesan dari keputusan pemain Brazil ini. Sejak Neymar mula dirisik oleh PSG lagi, Barcelona tidak berahsia atau berkias dalam menunjukkan minat mereka pada Coutinho untuk mengisi tempat Neymar. Barca mengumpan LFC dengan pelbagai harga tetapi sehingga saat artikel ini ditulis, penyokong LFC masih boleh tersenyum kerana JK masih tidak berganjak dari keputusan beliau untuk tidak melepaskan Coutinho. Tetapi dunia bolasepak sukar untuk dijangka. Tengkok Suarez juga digantung papantanda “BUKAN UNTUK DIJUAL” tetapi kita tahu apa penghujungnya. Kita sukar untuk meramal tahap mana pemilik LFC mampu menahan godaan untuk tidak menggigit umpan Barca. Seperti anda, saya juga mengharapkan supaya Coutinho kekal di Anfield kerana kita yakin LFC mampu memberi saingan yang lebih sengit dengan adanya pemain seperti Coutinho. Kita tidak merendahkan keupayaan pemain lain tetapi jika pasukan seperti Barca sanggup mengumpan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan beliau, bermakna Coutinho berada di tahap yang lebih tinggi dari pemain lain. Ini hakikat yng perlu diakui oleh pemain lain. Mengambilkira dari apa yang dinyatakan, saya hanya berharap Coutinho dan LFC segera membuat keputusan. Jika Coutinho berkeras untuk meninggalkan LFC, tidak ada gunanya LFC terus menyimpan beliau tetapi biarlah urusan ini dimuktamadkan dengan segera supaya tempat Coutinho yang kosong boleh diisi dengan pemain yang sesuai sebelum tiba tarikh tutup. Kita tidak mahu pembelian panik berlaku di hujung2 tarikh tutup pembelian pemain. Namun setakat ini.. diulang setakat ini, saya kagum dengan Coutinho kerana bijak mengawal keadaan. Kita tahu betapa setiap pemain ingin bermain untuk pasukan seperti Barcelona dan Real Madrid. Sama seperti Coutinho tetapi dia masih bertindak bijak dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang mampu menjejaskan hubungannya dengan penyokong LFC. Coutinho sedar jika dia tidak ke Barca, dia akan menghadapi penyokong LFC secara kerap. Lebih elok dia mengambil langkah selamat dengan menjaga hati penyokong LFC.

 

 

Liverpool akan menentang TSG 1899 Hoffenheim di bawah kendalian Julian Nagelsmann dalam saingan playoff Liga Juara-Juara Eropah


Berbalik pada saingan musim 2017/2018. Selain EPL, musim ini juga menyaksikan LFC kembali ke pentas Eropah. Persoalannya yang mana satu; Champions League (UCL) atau Europa League (UEL). Teka-teki pasukan lawan di “play-off” telah terjawap. LFC akan menentang Hoffenheim pada 16/08/2017 di tempat lawan dan akan memuktamadkan samada UCL atau UEL yang bakal ditempuhi untuk musim ini di Anfield pada 24/08/2017. Hoffenheim bukan satu lawan yang boleh dipandang remeh. Pembetulan. Apabila sudah sampai ke tahap “play-off” UCL; sudah tiada istilah lawan mudah. Mereka tidak akan berada di peringkat “play-off” jika mereka sekadar lawan mudah. Hoffenheim mempunyai rekod yang cemerlang di laman sendiri apabila mencatatkan rekod tanpa kalah di Rhein-Neckar Arena sepanjang musim Bundesliga 2016/2017 berlangsung. Kali terakhir pasukan kendalian pengurus muda  Julian Nagelsmann ini merasa kepedihan kalah di laman sendiri di saingan Bundesliga adalah pada 14 May 2016. Lebih mengerikan, itulah satu-satunya kekalahan di tempat sendiri yang dialami oleh pengurus ini sejak mengambilalih pengurusan Hoffenheim pada Februari 2016. Satu statistik yang perlu dipandang serius dan memerlukan JK merangka strategi untuk setidaknya tidak tewas di stadium keramat tersebut dan mampu tumbangkan mereka di Anfield. Mungkin ayat ini agak keras tetapi saya sarankan supaya penyokong LFC menundakan dahulu perancangan untuk bangun di subuh Rabu atau Khamis kerana pasukan lawan dilihat mampu memadamkan angan-angan kita tersebut.

 

Virgil van Djik antara pemain target utama untuk ke Liverpool, namun proses untuk membawa masuk pemain ini kelihatan sukar



Secara keseluruhan dan menolak isu Coutinho, LFC dilihat seperti sudah berpuashati dengan barisan pemain yang sediada. Ketika tarikh artikel ini ditulis, hanya Dominic Solanke, Mohamad Salah dan Andrew Robertson berada di senarai pemain yang dibeli. JK seakan memilih untuk mengambil risiko yang sama seperti musim lepas. Fakta ini dikuatkan dengan ayat yang kerap diulang berkali-kali oleh JK tentang Moreno; “seperti pembelian baru”. Tidak dinafikan, mutu permainan Moreno sungguh berbeza dan meningkat dalam siri persahabatan pra musim. Dengan peningkatan Moreno dengan sendirinya menjadikan Milner boleh dikembalikan ke posisi kegemarannya iaitu di midfield. Seperti musim lepas, JK tidak kelihatan panik atau terdesak untuk menambah pemain dimana beliau melepaskan 15 pemain dan hanya menggantikan dengan 6 pemain. Adakah JK akan melakukan perkara yang sama musim ini kerana setakat ini beliau telah melepaskan 6 pemain dan hanya membeli 3. Tidak dinafikan percaturan JK dilihat menjadi kerana perjalanan musim lepas dilihat memihak pada LFC sehinggalah Sadio Mane dipanggil pulang untuk mewakili negaranya di Piala Afrika. Hasil dari kehilangan beberapa mata berharga pada tempoh ketiadaan Sadio Mane itu, JK hanya menambah sokongan di bahagian tersebut.  Maka Salah dan Solanke dibawa masuk dengan harapan kelompongan yang sama dapat diisi jika keadaan yang sama berulang. Keseronokan JK menajamkan bahagian serangan sangat jelas apabila Naby Keita turut berada dalam sasaran beliau tetapi dihampakan oleh RB Leipzig apabila mentah-mentah menolak bidaan LFC. Pengurus LFC ini juga sedar pertahanan perlukan penambahbaikan dan di sinilah kita lihat kronologi kisah Virgil van Dijk yang sehingga sekarang masih tidak ada penutup. Ditambah pula pada ketika saya menulis artikel ini, melintas berita di internet yang mengatakan VVD sudah menyerahkan surat permohonan minta dilepaskan kepada pengurusan Southampton menjadikan kisah VVD ini terus hidup dan mengundang pelbagai  kemungkinan.

 

Daniel Sturridge berada dalam keadaan terbaik beliau menurut Klopp, namun beliau perlu kekal dalam keadaan terbaik dan seterusnya tidak mengalami kecederaan ketika musim berlangsung


Kita menyentuh pula tentang kecederaan kerana kecederaan dan LFC memang tak dapat dipisahkan. Mengimbas kembali ketika musim lepas berakhir, kita dapat lihat gesaan secara terbuka dari sebahagian besar penyokong LFC supaya JK menjual Sturridge. Kita tidak boleh menyalahkan kumpulan penyokong ini kerana mereka mempuyai alasan yang kukuh. Statistik penglibatan Sturridge dalam perlawanan musim lepas tidak banyak membantu. LFC mengharungi 47 perlawanan secara keseluruhan dan Sturridge hanya terlibat 27 kali. Tapi sebelum kita menjatuhkan hukuman pada Sturridge, kita perlu lihat beberapa aspek terutama persaingan EPL. Sturridge membuat 89 penampilan di saingan EPL bersama LFC dan dari jumlah itu dia berjaya menjaringkan 46 gol. Satu jumlah yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Benarlah apa yang dikatakan oleh Lallana, jika Sturridge berada di tahap kecergasan maksimum; kehebatannya adalah seperti LFC baru membeli 2 pemain baru. Saya setuju apa yang Lallana katakan tapi masalahnya masih berpeluangkah kita melihat Sturridge berada di tahap kecergasan maksimum.  Musim lepas kita meyaksikan Danny Ings hanya membuat 2 penampilan di saingan Piala Liga sebelum dibawa semula ke bilik rawatan sehingga habis musim. Kita juga akui bahawa isu kecederaaan adalah perkara diluar jangkaan tetapi kita mengharap JK akan ambil keputusan yang lebih agresif dalam menangani masalah pemain yang dilanda kecederaan jangka panjang. Tidak dinafikan jika berlandaskan senarai pemain yang sediada untuk menghadapi musim baru ini, setiap posisi diletakkan “back-up” plan bagi menghadapi kemungkinan kecederaan. Tapi itu tidak mencukupi jika kita mahu melihat LFC kembali menjadi pesaing. Jumlah pemain yang berpotensi mengalami kecederaan berulang perlu diminimumkan. Perlu kita ingat, jika LFC berjaya kembali ke UCL; jadual akan menjadi padat. Piala Liga dan FA juga bakal menagih kecergasan pemain di tahap terbaik. LFC sudah tidak mampu menggunakan set pemain yang sama saban minggu jika sudah berada di UCL. Perlu diingatkan bahawa 2018 adalah tahun Piala Dunia. Pemain akan kerap dipanggil untuk memikul tugas mewakili negara bagi persediaan menghadapi Piala Dunia dan sekaligus menjadikan risiko untuk pulang ke Anfield dengan keadaan kaki atau tangan berbalut adalah tinggi. Untuk ini, JK terpaksa membawa watak antagonis untuk membuat keputusan berkenaan pemain yang lebih lama meluangkan masa di bilik rawatan berbanding di atas padang.

 

Peminat telah menyokong sepenuh hati. Tinggal pemain sahaja yang perlu memberikan aksi terbaik sepanjang musim


Kita rangkumkan seperti berikut. Sebagai penyokong yang mengikuti perjalanan dan persediaan LFC setiap musim, kita diasuh untuk tidak menilai persediaan atau meletak sebarang sasaran yang tepat berdasarkan pencapaian sepanjang tempoh pra musim. Kita telah banyak belajar dari pengalaman lepas bahawa tindakan ini membawa risiko yg sangat tinggi terutama risiko untuk dihampakan dan melihat impian kita pecah berderai. Musim  lepas adalah contoh yang pa,ling klasik. Kita terbuai dengan kelancaran perjalanan LFC sehingga ada yang sudah yakin musim lepas adalah musim yang ditunggu-tunggu sejak 1989. Tetapi malangnya, kita kecewa sekali lagi. Walaupun ralat dan sedih tapi setidaknya ianya satu tanda dan petunjuk yang jelas mengatakan LFC mampu beri saingan jika disusun seeloknya dan dirangka pelan “back-up” jika perlu. Jangan bimbang LFC. Saya yakin saya bercakap bagi pihak penyokong LFC yang lain. Sungguhpun kecewa setiap penghujung musim, kita tetap lagi berada di belakang pasukan dan tidak pernah berhenti berharap supaya LFC mampu lakukan sesuatu yang di luar dari kebiasaan dan mungkin akan mengakhiri perlumbaan 9 bulan ini di kedudukan yang juga di luar dari kebiasaan.

Kita jumpa di perlawanan pembukaan.

#WeAllReds

 

Artikel ini dikarang oleh Shankly List a.k.a Apai

KONSISTENSI PERLU JADI TARUHAN TERBAIK LIVERPOOL

 

Musim 2016/17 yang telah dilalui memberikan terlalu banyak rasa buat semua penyokong Liverpool. Bermula dengan baik di Emirates memberikan 1001 harapan yang skuad Liverpool 2016/17 akan menghadirkan kejayaan untuk peminat yang sememangnya sudah lama memasang impian sekurang-kurangnya satu piala dapat dibawa balik ke Liverpool.

Namun impian hanya tinggal impian. Bermula dari perlawanan menentang Sunderland pada awal Januari meninggalkan satu kenangan pahit yang sukar ditelan oleh peminat. Seakan menelan ubat tanpa menggunakan air itulah rasa yang ditinggalkan dan pastinya dikenang hingga kini.

 

Kecederaan pembunuh senyap konsistensi Liverpool

Kecederaan umpama pembunuh senyap kejayaan Liverpool musim lalu

 

Kecederaan demi kecederaan yang menimpa satu demi satu pemain menghadirkan rentetan keputusan buruk di sepanjang 11 perlawanan liga dan juga pusingan kalah mati Piala EFL  dan juga Piala FA di sepanjang Januari dan Februari. Hanya 2 kemenangan berjaya dicatatkan dalam tempoh tersebut menghadirkan kegelisahan buat penyokong.

Bermulanya Mac dengan kemenangan ke atas Arsenal di Anfield kembali menghadirkan senyuman di kalangan penyokong. Impian untuk mengakhiri musim di kalangan empat terbaik akhirnya berjaya dicapai dalam perlawanan terakhir menentang pasukan di tangga ke 19 liga, Middlesbrough, di Anfield. Perlawanan yang turut disaksikan oleh beberapa ahli ARM yang berkunjung ke Anfield.

Pengalaman musim lepas pastinya menjadi igauan buat penyokong Liverpool untuk mengharungi musim ini. Melalui perlawanan pertama menentang Watford minggu lalu yang berkesudahan seri 3-3 sudah menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong. Kritikan dilemparkan terutamanya kepada bahagian pertahanan yang tampak cukup longgar dalam perlawanan tersebut.

 

Gol pemusnah impian 3 mata pertama Liverpool

Gol Britos perampas impian 3 mata pertama Liverpool musim ini

 

Kegelisahan yang hampir sama dirasai ketika menonton perlawanan menentang Hoffenheim di Rhein-Neckar Arena. Meskipun berjaya menamatkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah Hoffenheim di kubu mereka sendiri namun sekali lagi aksi kesebelasan pemain mencetuskan kegelisahan buat penyokong dan pastinya menghadirkan satu persoalan. Mampukah skuad yang ada kini menghadirkan sekurang-kurangnya 1 piala musim ini?

Persoalan tersebut hanya mampu dijawab dengan satu jawapan. Konsistensi.

Hilangnya konsistensi ketika pertengahan musim lalu memberikan khabar duka kepada penyokong. Lalu mampukah skuad yang ada kini meningkatkan prestasi dan seterusnya mempertahankannya untuk sepanjang musim ini?

Tiada cara terbaik untuk pemain Liverpool menjawab soalan tersebut. Aksi dalam perlawanan jadi penentu.

Semestinya laungan keramat You’ll Never Walk Alone jadi azimat terbaik mengiringi perjalanan skuad serba merah dari Merseyside mengharungi musim 2017/18 yang menjanjikan laluan lebih getir buat mereka di sana.