ISU 'COUTINHO KE BARCELONA' DAN KAITANNYA TERHADAP KLOPP, FSG DAN PEMINAT

Masa depan Coutinho di Liverpool masih dalam tanda tanya. Kekal di Liverpool atau berhijrah ke Barcelona?

Saya menanti dengan penuh kesabaran senarai pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama semasa perlawanan di Turf Moor. Sebelum ini, saya tidak pernah ambil kesah tapi pada malam itu, saya menanti dengan penuh minat. Saya tidak pernah terlibat dengan Liga Fantasi. Jika itu yang anda fikirkan. Seperti yang saya nyatakan, saya tidak ambil peduli sebelum ini. Seperti biasa, senarai penuh pemain duwartakan kira-kira sejam sebelum perlawanan. Tepat seperti yang saya jangka, Coutinho “akan” mengalami kecederaan “disaat-saat” akhir menjelang perlawanan.

Saya tidak berminat sangat berbicara tentang Coutinho kerana saya pernah menulis beberapa tahun dahulu ketika LFC sedang dalam perjuangan mengekalkan Fernando Torres di Anfield. Ketika itu saya menulis dengan mengatakan walaupun saya marah dan kecewa melihat Torres pergi malah terbabit sekali bakar patung Torres di depan clubhouse ARM di Johor Bahru, tetapi saya terpaksa rela dan faham dengan keputusan yang Torres ambil. Mungkin ada yang bertanya apa kaitan kisah Torres dengan pemain dari Brazil ini. Apa yang sama antara kedua-dua pemain ini adalah mereka mahu tinggalkan LFC untuk bersama pasukan lain yang menawarkan sesuatu yang mungkin lebih baik dari pandangan mereka. Mengapa saya tidak kaitkan dengan Suarez pula? Apa bezanya pula?

 

Penghijrahan Torres ke Chelsea tidak disenangi peminat Liverpool seantero dunia ketika itu


Torres berangkat ke Chelsea kerana krisis kewangan LFC ketika itu masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Ombak hutang masih lagi terasa menggoyang kapal LFC walaupun John Henry bersama FSG telah membeli LFC dari pemilik lama iaitu Gillett and Hicks yang meninggalkan kelab dengan pelbagai masalah. Keputusan Torres lebih cenderung kepada rasa kecewanya dengan janji-janji yang diberikan oleh kelab semasa membawa Torres ke Anfield tidak nampak tanda-tanda ianya akan ditunaikan. Torres merasakan bahawa masa depannya tidak akan menjadi lebih baik jika dia terus berada di Anfield. Dia impikan kejayaan yang lebih besar dan kebetulan Chelsea yang terkenal dengan imej kelab yang kaya pula datang melamar. Torres yakin keputusannya untuk terima lamaran Chelsea adalah tepat.

Kini kita berdepan dengan kisah yang sama seperti di awal musim 2017/2018. Coutinho masih di Liverpool. Masih tiada berita yang sahih atau rasmi mengatakan dia akan ke Barcelona. Hampir keseluruhan berita yang ada berasaskan dari spekulasi dan penilaian peribadi. Sebab itu saya mulakan tulisan ini dengan kisah saya menanti dengan penuh debar senarai pemain di Turf Moor. Saya ingin buktikan bahawa saya juga terpengaruh dengan spekulasi yang diumpan oleh media. Namun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya sayang LFC. Tidak tergamak jari ini mengetuk huruf di keyboard menulis sesuatu tentang Countinho dimana semakin dalam diulas semakin jelas kelemahan LFC dipertontonkan. Bezanya isu Coutinho dengan Torres adalah ianya menggambarkan secara jelas perjuangan sebenar LFC dalam arena bolasepak.

 

 

Liverpool merupakan antara kelab dalam senarai 10 teratas carta Deloitte Football Money League musim 2015-16


Dari sudut kewangan; diwartakan pada bulan Mei 2016, LFC merekodkan keuntungan sebanyak £301juta sejak ianya dibeli pada Oktober 2010. Bermakna, kewangan kelab jauh lebih stabil jika dibandingkan dengan saat Torres memilih untuk tinggalkan LFC. Jika anda sukar membayangkan bagaimana kukuhnya ekonomi LFC ketika ini, saya kongikan satu fakta yang mudah. Tahun lepas, LFC disenaraikan dalam 10 kelab yang paling tinggi membuat keuntungan mengikut Deloitte Football Money League. Yang menariknya dengan fakta ini, LFC mendapat status ini dengan TIDAK terlibat dalam persaingan UEFA Champions League (UCL). Semua tahu betapa setiap kelab mengimpikan beraksi di pentas UCL kerana pulangannya yang tinggi dari segi penajaan dan hak penyiaran. Kestabilan dan kukuhnya kewangan kelab dikuatkan lagi dengan kenyataan dari Chief Operating Officer, Andy Hughes dengan berkata “These results demonstrate the solid financial progress that’s been made over the past six years under the leadership of FSG with continued investment in the playing squad and the completion of the main stand…” saya mudahkan lagi untuk mereka yang malas nak fikir. Ini bermaksud bahawa LFC kini tidak boleh menggunakan masalah kewangan kelab sebagai sebab mereka terpaksa melepaskan Coutinho.

Kemudian tiba pula faktor UCL. Kini LFC sudah kembali ke UCL dan kembalinya mereka bukan sekadar untuk memenuhi kuota tapi LFC membuktikan mereka serius dalam persaingan Eropah ini. UCL dulunya menjadi salah satu faktor mempengaruhi mana-mana pemain untuk sertai atau tinggalkan kelab. Jika dulu LFC boleh memuaskan hati penyokong dengan berkata kelab tidak mampu berbuat apa-apa kerana pemain ingin beraksi di UCL. Kini LFC tidak boleh gunakan alasan ini lagi.

 

John Henry (kanan) perlu memastikan Liverpool bukan sebuah selling club dengan mengikut pendirian Jurgen Klopp (kiri)


Maka dengan ringkasnya, LFC kini berada di persimpangan. Dengan merelakan pemergian Coutinho bermakna LFC membuktikan pada dunia bahawa LFC hanya boleh membeli pemain dengan cara menjual pemain yang lain. Singkatannya; jual untuk beli. Ini bukan amalan yang sepatutnya dilakukan oleh kelab yang membuat keuntungan sebanyak £301juta. Dengan penjualan Coutinho juga, LFC akan menghantar isyarat yang kurang baik pada pemain yang sedia ada. Soalan yang logik akan terlintas dalam fikiran mereka; adakah mereka masih ada di kelab ini untuk melihat LFC julang EPL atau kejuaraan lain jika pemain yang hebat dilepaskan? LFC perlu bina keyakinan di kalangan pemain, penyokong dan malah penaja bahawa LFC tidak perlu jual pemain hebat mereka untuk dapatkan pemain lain. LFC perlu buktikan mereka mampu mengeluarkan dana yang sepatutnya jika perlu.

Jika Coutinho dilepaskan juga tanpa ada tanda-tanda LFC cuba memperjuangkannya, maka semakin terserlah gambaran sebenar pemilik LFC ketika ini. Penyokong akan merasakan mereka dipergunakan dan suara mereka tidak dipedulikan. Kita masih kabur dengan pendirian Klopp tentang Coutinho. Apa yang kita harapkan Klopp jenis pengurus yang memahami dan sentiasa taat dengan apa juga keputusan kelab dalam hal jualbeli pemain. Apa yang membimbangkan, jika Klopp mahu Coutinho kekal dan pemilik gagal untuk membantu merealisasikan impian itu. Sejauhmana seorang pengurus mampu bertahan jika pemain harapannya dibiarkan pergi tanpa ada usaha untuk menahannya. Apa kemungkinan yang boleh kita bayangkan jika pemilik kelab gagal untuk membantu pengurus?

Kesimpulannya; saya memilih untuk berharap Coutinho kekal tetapi dalam masa yang sama menjangka ianya tidak akan terjadi. Coutinho akan tinggalkan Anfield. Itu yang saya katakan pada diri saya sendiri kerana ianya lebih logik dan menyerlah. Bolasepak adalah perniagaan. Ahli perniagaan mana yang mampu menolak ratusan juta di atas meja dengan menilai harga belian asalnya dari Inter Milan dahulu yang hanya sekitar £8.5juta?  Mudah bukan?

 

Artikel ini dikarang oleh Shankly List a.k.a Apai

Leave your comment
Comments
1/4/2018 9:43 AM
Pendek kata, untung membeli & juga masa menjual. Risau juga kalau tidak dilepaskan, prestasi menurun dek merajuk punya pasal. It's up to the player
1/4/2018 11:22 AM
I support you